Bismillahirrahmanirrahim….Assalamualaikum dan salam 1 Malaysia.
Tatkala pewaris bangsa ini berdiri, Bumi Afghanistan masih bermimpi ngeri. Hanya kerana bunga popi, perebutan
kuasa dibolak-balik hingga ke hari ini. Tatkala pewaris bangsa ini
berpencak, tanah Colombia, gegak berpesta dadah, biarpun akhlak
rakyatnya semakin rosak.
Sekalung penghargaan buat peneraju acara, tetamu kehormat, kombinasi
juri berintegriti, hadirin, warga dewan yang dimuliakan. Salam kasih,
salam ceria, kita bersama. Hayatilah wacana indah daripada saya, BERSATU
MEMERANGI DADAH.
Secara konseptualnya, BERSATU MEMERANGI DADAH, menuntut kita, untuk
berbicara, sejauh manakah kebersamaan kita, dalam membanteras
penyalahgunaan dadah. Oleh itu, ayuh bersama-sama saya, untuk menelusuri
tiga zaman yang berbeza, yang tuntasnya, bakal merungkai, kesepaduan kita, dalam memerangi dadah, di negara ini.
Hadirin sekalian,
Pertama, mengambil iktibar peristiwa zaman dahulu. Dunia menyaksikan, coretan sejarah hitam, tatkala penggunaan candu, telah menjatuhkan beberapa kerajaan besar. Tahun 1824, kemasukan kaum candu, Al-Hasyasyin dari Parsi, telah menggunakan candu, untuk membunuh
pemimpin-pemimpin Islam. Begitu juga dengan penduduk Andes, Amazon, dan
tamadun Turki Uthmaniyah, menunjukkan, betapa penggunaan dadah, seperti
Cocoa, kacang ibuga, pituri, dan popi, semuanya mampu menguntungkan negara, tetapi meruntuhkan akhlak masyarakat dunia. Perang Candu juga, mampu merosakkan nilai ketamadunan yang dibina. Namun hadirin, hari ini saya berbangga, kerana Malaysia mengambil iktibar. Dadah tidak dijadikan sandaran utama, tetapi, musuh paling nyata.
Hadirin sekalian,
Kedua, memahami realiti pada zaman sekarang. Negara cukup bosan, untuk berdepan dengan penagih-penagih dadah, yang hidup
melarat. Bukannya memberi manfaat, tetapi memberi mudarat. Pecah rumah,
kes ragut, mencuri, sehingga melibatkan pembunuhan, semuanya kerana
dadah. Polemik ini telah mengganggu keharmonian masyarakat. Lantas,
kerajaan segera merencanakan pelbagai program, untuk memerangi dadah
ini. Kelab Rakan Pemadam, kempen Perangi Dadah Habis-habisan, seminar
dan sesi kaunseling. Dengan kerjasama daripada pelbagai pihak, hasilnya,
statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Negara menunjukkan,
terdapat penurunan peratusan penagih dadah pada tahun 2007, hingga 2008, iaitu sebanyak 21%. Dengan kesan yang mendadak ini, saya yakin bahawa kita mampu memerangi dadah bersama-sama.
Hadirin sekalian,
Ketiga, melihat implikasi pada zaman akan datang. Saban tahun, Malaysia sudah menuju zaman kemajuan, zaman kemodenan. Gagasan 1 Malaysia oleh kerajaan, jelas menunjukkan bahawa kita perlu bersatu, untuk maju. Untuk kemajuan, kita lakukan perubahan. Transformasi dijanakan, minda penuh
pengetahuan. Oleh itu, dengan modus operandi oleh kerajaan, usaha-usaha
oleh pihak swasta, serta sekolah, pendidikan pencegahan dadah pasti
mencapai matlamatnya. Kita sudah ada negarawan, Dato Sheikh Muzafar,
contoh angkawasan, AzizulHasni Awang, bukti kesungguhan, A. Samad Said,
tokoh sasterawan, namun, lebih 20 ribu orang penghuni, masih memerlukan
rawatan. Ish…ish…ish.. Ramainya. Macam mana nak buat ni? Ceciter…ceciter… Untuk anak-anak bangsa, jangan lupa katakan TAK NAK kepada ROKOK, katakan TAK NAK kepada DADAH. Sebab tu lah pentingnya healthy education.
Hadirin sekalian,
3 fokus utama telah saya hidangkan sebentar tadi. Dengan kesepaduan bersama, saya yakin dan percaya,
bahawa Malaysia mampu memerangi dadah. Masyarakat akan hidup selesa,
aman dan bahagia, bersama, rasa cintakan negara. Oleh itu, BERSATU
MEMERANGI DADAH.
Sekian, terima kasih.